Kisah Sebenar Mengenai Datuk Azhar Mansor
Taken from Bukan Islam Liberal
Saya bertemu dengan perbincangan ini sewaktu membuat kajian mengenai isu murtad masyarakat Melayu Malaysia. Menarik perhatian saya membaca isu Dato' Azhar Mansor. Saya berani menyatakan di sini bahawa Dato' Azhar Mansor, alhamdulillah adalah masih seorang Muslim.
Khabar-khabar angin mula bertiup pada tahun 2003 di Internet yang menyatakan bahawa Dato' Azhar Mansor telah memeluk agama kristian dan sering mengunjungi gereja di PJ (Tun Musa Hitam juga dituduh pada tahun 2000 mengunjungi gereja tersebut). Khabar angin bertitik tolak daripada cerita bahawa sewaktu tiang layar Jalur Gemilang patah ketika dilanda ribut kuat di Tanjung Pengharapan, Dato' Azhar hampir lemas dan Jalur Gemilang nyaris karam. Dato' Azhar berdoa memohon bantuan. Menurut cerita yang di- sebarkan lagi, datanglah ikan lumba-Lumba yang membantu memberi haluan kepadanya dan pada waktu itu beliau nampak "Isa Al Masih" menjelma dan memberitahunya bahawa dia akan selamat.
Seandainya peristiwa ini benar terjadi (Dato' Azhar bagaimanapun tidak pernah menghebohkannya) maka beberapa faktor yang perlu diambil kira, pertamanya ialah beliau telah belayar seorang diri selama hampir 100 hari pada ketika itu. Keduanya sistem GPSnya dan system komunikasinya menerusi satelit telah beberapa ketika terputus ketika itu. Ketiga, fikirannya mungkin tidak menentu akibat keletihan, ketakutan dan mungkin pengaruh alkohol yang diambil untuk memanaskan badan di dalam suhu yang melampau. Maka sebagai seorang yang terpelajar dan berasal dari Perlis dengan didikan agama yang seimbang dengan kebanyakan orang Melayu, apabila kembali waras, beliau berfikir. Jawapan yang lahir pertamanya, mungkin godaaan syaitan. Keduanya, jika benar "Al Masih" telah muncul maka tiada yang mustahil Sebagai seorang Islam kita percaya Nabi Isa a.s tidak mati dan akan pada suatu ketika muncul semula memimpin umat manusia ke arah kebenaran. Maka "jika" Dato' Azhar menyampaikan insiden ini kepada Tun Dr. Mahathir, itulah juga jawapannya. "Jika" sewaktu mengikuti pelayaran ke Antartika bersama Tun, beliau membisikkan kes ini kepada Dato' Dr. Hamid, begitu jugalah jawapannya.
Memang benar isterinya adalah bekas warga Filipina yang berasal dari agama Kristian Katolik.
Seterusnya, kita lihatlah rujukan masa. Berita "murtad"nya beliau mula muncul pada tahun 2003. Dia dikatakan berceramah di Sabah dan sekarang timbul pula kononnya bukan Sabah tapi Sarawak. Kemudian kenyataan rasmi pertama di laman web pro kristian yang mula terbit pada tahun 2003, memberitahu bahawa Dato' Azhar telah memberitahu Tun Dr. Mahathir tentang insiden yang berlaku dan hasratnya untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian. Tun Dr. Mahathir menasihatkan Azhar menginggalkan Malaysia untuk meneruskan niatnya. Jadi dikatakan bahawa di antara tahun 2003 dan 2004 Dato' Azhar telah berhijrah dan meninggalkan Malaysia. Ada laman web pro Kristian menyatakan bahawa Dato' Azhar berhijrah ke Kanada. Ada pula yang berkata ke Australia. Kalau benar beliau berhijrah, saya tidak percaya seorang pelayar akan ke Australia.
Saya pernah menemui beliau di KLCC dan bersama di dalam majlis berbuka puasa di sebuah restoran. Beliau hadir bersama isteri dan anak-anaknya. Pada ketika itu ialah pada tahun 2000. Kami ada berbincang ringkas tentang isu program televisyen.
Pada tahun 2003 saya menghubungi beliau di Langkawi. Dan saya boleh mengesahkan bahawa pada tahun 2003 beliau masih di Langkawi dan sibuk dengan projeknya di Telaga Harbour. Pada 25hb Disember 2004 (Beliau kononnya sudah berhijrah), sehari selepas Tsunami melanda Lautan Hindi, Dato' Azhar dan fotonya sekali telah mengisi beberapa ruang akhbar dan juga laman web berhubung kerosakan kepada Telaga Harbour. Bahkan dilaporkan oleh media, bahawa kapal layarnya juga mengalami kerosakan bersama beberapa kapal layar lain.
Kesimpulannya, kita boleh menalipon Telaga Harbour dan bertanya sama ada Dato' Azhar di situ lagi atau sudah 'hilang'. Kita boleh ke Langkawi dan melihat sendiri sama ada itu Dato' Azhar atau tidak. Jika Dato' Azhar masih di situ maka ternyata kenyataan dalam laman web pro Kristian adalah salah dan bertujuan menipu orang Islam Malaysia.
Dato' Azhar pernah sekali memberi kenyataan ringkas kepada pihak tertentu menafikan bahawa dia telah meninggalkan Islam.
Saudara saudari, ini adalah dakyah Kristian. Dato' Azhar adalah wira negara. Dato' Azhar seorang yang berani dan kental. Alangkah hebatnya cerita kemunculan "Jesus Christ" dan menghulurkan bantuan kepada wira Melayu. Alangkah hebatnya dan berpengaruh jika wira Melayu meninggalkan agama Islam dan memeluk Kristian.
Saya menasihatkan anda yang musykil menelefon sendiri Dato' Azhar di Telaga Harbour dan kalau anda pergi ke Langkawi, kunjungilah wira negara itu. Doakanlah kepada Allah dikuatkan Imannya dan supaya dijauhi beliau dari segala yang boleh memudaratkan dirinya, pegangannya dan pegangan kita.
Picture of Dato' Azhar Mansor













